Penduduk dituntut bayar RM1j
Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my
GEORGE TOWN - Tindakan mahkamah akan diambil terhadap penduduk di lima buah flat Taman Teluk Kumbar di sini ekoran kegagalan membayar yuran tunggakan penyelenggaraan sejak 15 tahun lalu yang kini mencecah lebih RM1 juta.
Pengarah Eksekutif Fala Associates Sdn. Bhd., M. Kajendaran berkata, pihak pemaju terpaksa bertindak demikian disebabkan majoriti penduduk masih enggan membayar yuran selenggara meskipun telah dimaklumkan berkali-kali termasuk menghantar notis guaman.
Ujarnya, ekoran kedegilan penduduk, syarikat itu berdepan kesulitan dan terpaksa meminjamkan wang kepada anak syarikatnya, Piala Mutiara Sdn. Bhd. berjumlah RM500,000 bagi membayar bil elektrik, air, gaji kakitangan dan cukai pintu.
"Tiap-tiap bulan pihak syarikat kena keluarkan duit sendiri untuk menyelesaikan masalah pembayaran ini tetapi sehingga hari ini penduduk masih liat membayar tunggakan mereka sejak mendiami perumahan ini.
"Kami tidak memaksa mereka membayar kesemua hutang itu sekali gus, mereka boleh membayar secara ansuran atau datang berbincang dengan kami mengenai cara pembayaran," katanya di sini semalam.